Khasiat Air Zamzam

air_zamzam

Diet seseorang tidak akan sempurna tanpa air. Imam Ibnu Qayyim Al-Jauziyah berkata dalam Tib An-Nabawi, “Air bersih yang segar bermanfaat bagi mereka yang sihat dan sakit. Air, apabila terhimpun padanya kebersihan, kesejukan yang asli dan kemanisan, paling bermanfaat bagi tubuh badan dan merupakan cara yang paling penting bagi memelihara kesihatan. Nabi Muhammad suka meminum air yang dicampuri dengan madu lebah.”

Mengikut Institude of Medicine, golongan lelaki memerlukan lebih kurang 3 liter dan kaum wanita 2.2 liter setiap hari. Minuman yang dimaksudkan tidak termasuk minuman yang mengandungi soda dan yang mempunyai kafein seperti kopi dan nescafe. Keperluan seseorang terhadap air sebenarnya adalah tidak sama. Ia akan meningkat apabila cuaca panas ataupun selepas bersenam.

Sumber air pada hari ini dicemari dengan dahsyatnya. Rawatan yang diberikan kepada air sering kali boleh mendatangkan kesan sampingan dan kemudaratan kepada manusia. Allah melahirkan satu contoh air bersih yang tidak dicemari dan tidak memerlukan rawatan manusia sehingga ke hari ini. Air itu ialah air zamzam.

Asal Usul Air Zamzam

Air zamzam adalah air yang keluar daripada mata air zamzam yang terletak berdekatan dengan Kaabah. Mata air itu muncul pertama kalinya ketika isteri Nabi Ibrahim, iaitu Siti Hajar, dan anaknya Ismail, sedang kelaparan dan kehausan di tengah padang pasir Mekah yang kering kontang ketika itu. Bagi mendapatkan makanan dan bantuan, Siti Hajar berlari-lari antara Safa dan Marwah.

Perbuatan Siti Hajar berlari-lari antara Safa dan Marwah tidak mungkin dapat dilupakan oleh umat Islam kerana ketika umat Islam melakukan ibadah haji, mereka wajib melakukan sai iaitu berlari berulang alik antara Safa dan Marwah sebanyak tujuh kali. Ketika melakukan ibadah ini, mereka sebenarnya sedang diingatkan mengenai pengorbanan, kecekalan dan kesungguhan Siti Hajar.

Berhubung dengan ini, Ibnu Kathir, dalam Tafsir Al-Quran Al-Azim, meriwayatkan pandangan sahabat Abdullah bin Abbas yang berkata, “Amalan sai dari Safa ke Marwah pada asalnya dikaitkan dengan kejadian yang berlaku ke atas Siti Hajar. Semasa mencari air untuk anaknya, beliau berlari berulang alik dari Safa ke Marwah dengan hati yang tunduk, khusyuk serta mengharapkan rahmat Ilahi. Akhirnya, Allah menganugerahkan air zamzam sebagai makanan dan minuman malah sebagai ubatan kepada beliau.”

Ukuran Telaga

Ukuran dalam telaga zamzam mencecah 30.5 meter dengan diameter antara 1.08 hingga 2.66 meter. Air zamzam bukan air magik yang boleh melakukan pelbagai keajaiban serta kepelikan. Sebaliknya ia adalah air biasa yang bermanfaat bagi manusia. Walau bagaimanapun, oleh kerana ia anugerah Allah kepada Siti Hajar dan Nabi Ismail, dan kedua-duanya merupakan hamba-hamba Allah yang dimuliakan, air zamzam boleh dikatakan sebagai air yang diberkati.

keluasan_perigi

Air zamzam pernah digunakan oleh para malaikat untuk membersihkan hati Nabi Muhammad, berpandukan hadith yang diriwayatkan oleh Bukhari, berhubung dengan keberkatan air zamzam, Muslim menjelaskan sabda Nabi yang bermaksud, “Sesungguhnya (air zamzam) itu diberkati. Ia merupakan makanan yang mengenyangkan.”

Khasiat Zamzam

Kajian dilakukan menunjukkan air telaga zamzam mengandungi kadar kalsium dan magnesium yang tinggi. Hal ini mungkin menjawab persoalan mengapa para jemaah haji sentiasa segar selepas meminum air zamzam. Air zamzam juga didapati mengandungi kadar fluorida yang tinggi berbanding sumber air yang lain.

Pihak makmal di Eropah, selepas melakukan ujian ke atas air zamzam, mengesahkan air zamzam selamat diminum. Hal ini menakjubkan kerana air zamzam tidak pernah dirawat dengan menggunakan klorin atau yang seumpamanya. Namun selamat untuk diminum sejak dahulu hingga ke hari ini. Laporan ini dibuat oleh Moinuddin Ahmed dan dimuatkan di IslamOnline.net di bawah tajuk Zamzam Water – A Miracle.

Satu lagi kajian berhubung air zamzam dilakukan oleh empat orang pakar daripada Suruhanjaya Kuasa Atom Bangladesh (Bangladesh Atomic Energy Commission) iaitu M. A. Khan, A. K. M. Sheriff, K.M. Idris dan M. Alamgir. Mereka mengkaji kandungan air zamzam dibandingkan dengan air paip dan air yang dikeluarkan menggunakan alat pengepam berkuasa solar (solar pump water). Pakar-pakar ini mendapati air zamzam wujud secara tabii dalam bentuk alkali. Keadaan ini dapat mengawal kesan sampingan yang disebabkan oleh lebihan asid dalam perut dan mampu mencegah penyakit gastrik.

Kadar iodin, magnesium, natrium (sodium) dan kalium (potassium) didapati tinggi dalam air zamzam. Mereka merumuskan khasiat air zamzam dari sudut kesihatan adalah lebih baik berbanding air mineral yang lain. Hal ini dilaporkan dalam Sunday Observer, Sri Lanka, pada 30 Januari 2005 di bawah tajuk The Miracle of Zamzam oleh S. H. A. Careem.

Seperti yang disebutkan sebelum ini, air zamzam bukan air magik. Bagi memastikan air zamzam tidak dicemari dan pengeluarannya berterusan, pihak kerajaan Arab Saudi menubuhkan sebuah pusat khas. Pusat ini dikenali sebagai Pusat Kajian dan Penyelidikan Zamzam (Zamzam Studies and Research Center). Melalui penubuhan pusat ini, teknologi moden dapat dimanfaatkan bagi pengeluaran air zamzam. Di samping itu, sistem piawaian terkini dapat digunakan bagi memastikan kualiti airnya tidak dicemari.

Pada hari ini, sukar bagi manusia memperoleh air yang benar-benar bersih lagi suci. Mengikut Karima Burns (MH, ND) dalam artikelnya yang bertajuk Water: It Also Flows in Paradise di IslamOnline.net, air yang diminum pada hari bertukar keasliannya kerana perbuatan tangan-tangan manusia. Antara perbuatan yang menukar keaslian air adalam memasukkan klorin ke dalamnya di samping sodium fluoride dan fluorosilicic acid. Sodium fluoride dan fluorosilicic acid dimasukkan ke dalam air bertujuan menambah kadar fluorida dalamnya. Ia merupakan produk sampingan industri yang toksik dan seringkali digunakan sebagai racun tikus. Lebihan klorin dalam air pula mengurangkan kadar kalium dan natrium dalam badan dan keadaan ini boleh menjejaskan kesihatan seseorang.

Karima Burns (MH, ND) dalam artikelnya yang sama seterusnya menjelaskan, sukar mencari air asli seumpama air zamzam pada hari ini. Beliau menegaskan keaslian dan kebersihan air zamzam disahkan berpandukan beberapa kajian dan penyelidikan bebas yang dilakukan sebelum ini. Sememangnya air zamzam merupakan air yang diberkati. Air zamzam juga merupakan air contoh yang tidak dicemari oleh tangan-tangan manusia dan mengingatkan kita kepentingan kita serius bagi memelihara kebersihan sumber air yang dianugerahkan Allah kepada kita.

Petikan di atas diambil dari buku bertajuk ” Quran Saintifik “. Jika anda berminat dengan tajuk di atas, anda boleh membantu pengarang dengan membeli buku tersebut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *