Khatan dan Sains

Satu lagi aspek kebersihan diri yang diwajibkan oleh Islam ialah berkhatan. Khatan ialah ibadah yang dituntut oleh agama ke atas golongan lelaki berdasarkan hadith riwayat Bukhari dan Muslim yang bermaksud, “Fitrah itu lima iaitu khatan, memotong bulu kemaluan, menggunting misai, memotong kuku, dan mencabut bulu ketiak.”

Melalui riwayat yang lain, Nabi menjelaskan kepada mereka yang baru memeluk Islam dengan berkata, “Bersihkanlah dirimu daripada rambut kufur dan berkhatanlah.” Hadith ini diriwayatkan oleh Ahmad dan Abu Daud. Tambahan daripada itu, Rasulullah mengarahkan kedua-dua cucunya dikhatankan selepas dilahirkan, berdasarkan riwayat Imam Baihaqi yang bermaksud, “Rasulullah berakikah untuk Hasan dan Hussein serta mengkhatankan mereka ketika mereka berumur tujuh hari.”

Khatan ialah amalan membuang kulit (foreskin) yang menutupi kepala zakar atau glans penis lelaki dan hukumnya adalah wajib. Ini merupakan pendapat yang dipegang oleh Imam Sya’bi, Rabi’ah, Al-Awza’ii, Yahya bin Saad Al-Ansari, Malik, Syafii, Ahmad dan ramai lagi.

Faedah Khatan

bagaimana-khatan-dilakukan

Antara pakar yang meyakini prosedur berkhatan mendatangkan begitu banyak kebaikan adalah Dr. Edgar J. Schoen. Beliau pernah dilantik menjadi Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Berhubung Khatan di Amerika (Task Force on Circumcision of the American Academy of Pediatrics) pada tahun 1993, dan merupakan seorang profesor Perubatan Kanak-Kanak di Universiti California di San Francisco. Beliau juga pernah menjadi Ketua Bahagian Perubatan Kanak-Kanak di Kaiser Permanente, Oakland selama 24 tahun. WebMD Medical News bertarikh 6 Mac 2000 melaporkan satu kajian yang beliau lakukan bersama-sama dengan rakan-rakannya. Mereka mendapati, daripada 89 kes kanser zakar, 87 daripadanya adalah dari kalangan lelaki yang tidak berkhatan. Mereka merumuskan, khatan mencegah lelaki dari menghidap kanser zakar dan penemuan ini dimuatkan dalam majalah Pediatrics.

Khatan juga menguntungkan wanita terutamanya isteri. Risiko seseorang wanita menghidap barah pangkal rahim (cancer of the cervix) adalah tinggi apabila pasangannya tidak berkhatan. Satu kajian yang dilakukan di Lembah Kashmir pada tahun 1993 menunjukkan amalan berkhatan di tempat ini menyebabkan peratus barah menjadi rendah apabila dibandingkan dengan kawasan-kawasan lain di India. Hal ini dilaporkan oleh Dr. Brian Morris dari New South Wales dalam artikel Medical Benefits From Circumcision pada bulan March 1999.

Tambahan itu, kajian menunjukkan kulit penutup kepala zakar mudah luka ketika melakukan hubungan seks dan hal ini menyebabkan seseorang terdedah kepada serangan kuman HIV. Terdapat bukti yang menunjukkan sel-sel yang dikenali sebagai langerhans cells yang terdapat di kulit ini memudahkan kuman HIV melekat sebelum menyerang. Berdasarkan 22 kajian yang dipengerusikan oleh Dr. David Moses dari Universiti Manitoba, yang dilakukan di 10 buah negara (kebanyakannya di Afrika dan negara-negara dunia ketiga), lelaki yang tidak berkhatan mempunyai risiko mendapat infeksi kuman HIV empat kali ganda lebih tinggi berbanding mereka yang berkhatan.

Di samping itu, mengikut Dr. Edgar J. Shoen, seorang pakar kanak-kanak yang terkenal, luka yang sering berlaku di kulit penutup zakar ketika melakukan persetubuhan memudahkan lelaki yang tidak berkhatan dijangkiti kuman penyakit jangkitan seksual, terutamanya sifilis, chancroid dan genital herpes. Perkara ini dilaporkan dalam artikel bertajuk Circumsion A Lifetime of Medical Benefits di medicirc_topic_adults.shtml pada tahun 2000.

Pakar-pakar sebagai contoh pakar bedah yang bernama Dr. Gerald Weiss, menegaskan bahagian bawah kulit yang menutupi kepala zakar menjadi tempat takungan pelbagai jenis kuman. Tanpa khatan kanak-kanak lelaki berisiok mengalami infeksi yang kadangkala mengeluarkan bau busuk yang tidak menyenangkan. Hal ini dilaporkan dalam Pediatric Infectious Disease Journal pada tahun 1997.

Pada tahun 1982, 95 peratus kes radang saluran kencing menjangkiti bayi yang berumur antara lima hari ke lapan bulan yang tidak berkhatan. Penyakit ini boleh menyebabkan demam, sakit ketika kencing serta muntah. Antara komplikasi penyakit ini adalah kerosakan buah pinggang. Kajian Dr. Tom Wiswell dari Amerika mengukuhkan lagi penemuan ini. Kesan yang sama juga boleh berlaku ke atas lelaki dewasa yang tidak berkhatan dan penemuan ini telah dilaporkan dalam Journal of American Medical Association pada tahun 1992.

Petikan di atas diambil dari buku bertajuk ” Quran Saintifik “. Jika anda berminat dengan tajuk di atas, anda boleh membantu pengarang dengan membeli buku tersebut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *