Bernafsu Untuk Bekerja

Petikan ini diambil dari buku yang bertajuk “55 Petua Orang Berjaya”. Ini adalah sebahagian dari penulisan buku tersebut dan tidak bercadang untuk mengambil kesemua petikan dalam buku tersebut. Bantulah penulis dengan membeli buku beliau. Klik pada pautan untuk mengetahui lebih lanjut mengenai buku ini.
https://www.tutor-guru.com/wp/55-petua-orang-berjaya/

Petua Tan Sri Harun Hashim

Dalam satu majlis makan malam bersama Almarhum Tan Sri Harun Hashim di Universiti Islam Antarabangsa, seorang pelajar muda bertanyakan kepada beliau apakah rahsia dalam kerjayanya selama ini. Tan Sri mempunyai rekod kerja yang cemerlang: Pengasas dan ketua pengarah BPR yang pertama, hakim Mahkamah Tinggi Malaya, pensyarah kanan UIAM, timbalan pesuruhjaya SUHAKAM, dan banyak lagi jawatan-jawatan penting yang dipegang. Mendengar pertanyaan itu, beliau pun menjawab.

“Rahsianya mudah. Setiap kali saya diberi tanggungjawab untuk melakukan sesuatu, saya ‘bernafsu’ hendak melakukannya.” Beliau memandang sambil tersenyum.

Adakah saudara sudah cukup ‘bernafsu’ dalam pekerjaan saudara selama ini? Ataupun saudara bekerja sekadar ‘melepaskan batuk di tangga’ sahaja? Apabila saudara ingin berjaya, dengar nasihat ini, “Lakukanlah pekerjaan saudara setiap hari dengan penuh ‘bernafsu’.”

Lakukan dengan penuh minat, dan tumpuan yang penuh. Tetapkan sasaran yang terbaik dan buat yang terbaik bagi mencapai matlamat itu. Insya Allah apabila saudara berjaya menjadi sedemikian, saudara tidak ada alasan lagi untuk tidak berjaya.

Nafsu manusia perlu dikawal dengan ajaran agama dan keimanan yang tinggi. Tetapi ‘nafsu kerja’ bukan seperti nafsu-nafsu kebinatangan itu. ‘Nafsu kerja’ ialah semangat dan keinginan yang teramat sangat bagi melihat kejayaan serta kecemerlangan berada di hadapan saudara. Ia hanya satu istilah bagi menunjukkan bagaimana seseorang itu bersungguh-sungguh dan tekun dalam setiap pekerjaannya.

‘Nafsu Kerja’ Menolak Kekurangan yang Ada

Orang yang ‘bernafsu’ dalam bekerja tidak risau dengan apa yang dia miliki sekarang. Apa yang penting adalah perkara yang dibuat dan matlamat yang diinginkan. Muhammad bin Abdullah seorang anak yatim piatu, menjadi penggembala kambing, tidak tahu membaca dan hidup serba kekurangan. Tetapi, akhirnya beliaulah yang menjadi rahmat umat seluruh alam. Ajaran wahyu yang dibawanya menjadi asas tamadun yang kita ada sekarang.

Lihat sahaja Abraham Lincoln, Presiden Amerika yang disegani berasal daripada keluarga yang miskin. Begitu juga Ulysses Grant yang pada mulanya gagal sebagai ahli perniagaan, kemudiannya menjadi pemotong kayu, tetapi akhirnya menjadi Jeneral Tertinggi dalam Perang Saudara Amerika.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *