Masa Itu Pedang, Jangan Sampai Terluka

Petikan ini diambil dari buku yang bertajuk “55 Petua Orang Berjaya”. Ini adalah sebahagian dari penulisan buku tersebut dan tidak bercadang untuk meniru kesemua petikan dalam buku tersebut. Bantulah penulis dengan membeli buku beliau. Klik pada pautan untuk mengetahui lebih lanjut mengenai buku ini.
https://www.tutor-guru.com/wp/55-petua-orang-berjaya/

Masa itu pedang, jika saudara tidak memotong, saudara akan dipotong.

Petua Arab Lama

Ini adalah pepatah yang terkenal di kalangan bangsa Arab. Adakah saudara faham apa yang diperkatakan oleh pepatah ini?

Pepatah ini sebenarnya menggambarkan suasana di sebuah medan peperangan. Tentera-tentera bertempur dengan pedang yang terhunus di tangan, mereka membunuh musuh bagi mencapai kemenangan dalam peperangan. Jika saudara berdiri di tengah-tengah medan pertempuran ini dengan sebilah pedang, apa yang akan saudara lakukan?

Apa yang saudara dapat lakukan adalah dengan turut sama dalam peperangan. Saudara juga mesti menggunakan pedang itu dengan menentang musuh-musuh yang ada. Jika saudara tidak menggunakan pedang itu, apakah yang akan berlaku? Ya, saudara akan menerima kesusahan yang besar apabila saudara berdiam diri sahaja.

Begitu juga dengan masa. Bangsa Arab menggambarkan betapa ‘tajam’nya masa sehingga dapat merosakkan saudara apabila saudara tidak menggunakannya dengan sebaik mungkin. Oleh itu, gunakan masa yang saudara miliki bagi ‘memotong’. Jangan biarkan ia berlalu dan ‘memotong’ saudara pula. Bertempurlah sekarang!

Petua Prof. Kamal

Pernahkah saudara datang awal ke mesyuarat, tetapi terpaksa menunggu kedatangan yang lain sehingga lebih setengah jam? Saudara sudah terkejar-kejar meninggalkan janji temu penting semata-mata ingin menepati waktu mesyuarat, tiba-tiba mesyuarat bermula lambat kerana menunggu orang yang lewat. Biasa bukan?

Tan Sri Prof. Dr. Kamal Hassan mempunyai petua yang mungkin dapat membantu saudara. Beliau tidak menghukum mereka yang datang awal, sebaliknya menghukum mereka yang datang lambat. Jika mesyuarat dijadualkan pukul 9.10 pagi, beliau tetap memulakannya pada 9.10 pagi, walaupun cuma dua tiga orang sahaja yang datang. Bagi beliau, melewatkan mesyuarat hanya semata-mata menunggu mereka yang lewat umpama memberi kemenangan dan ganjaran kepada mereka dan dalam masa yang sama menghukum mereka yang datang awal. Jika dilakukan, orang yang datang awal rasa menyesal dan tidak akan datang awal lagi, sebaliknya yang lewat berasa dihargai dan terus lewat. Apabila ini berlaku, sampai bila masalah hendak selesai?

Akhirnya beliau tetap dengan petua kontroversinya itu. Walaupun pada awalnya kehadiran awal agak menyedihkan, tetapi beliau tetap konsisten dan menunjukkan teladan yang baik. Saudara tahu apa yang berlaku selepas itu? Seluruh kakitangan universiti tidak lagi berani lewat ke mesyuarat atau majlis-majlis keramaian. Kerana mereka tahu, apabila mereka lewat, mereka akan ketinggalan agenda mesyuarat. Mereka terasa seperti ‘dihukum’ kerana kelewatan mereka. Sebaliknya apabila mereka awal, masa mereka dapat digunakan secara cekap kerana tiada lagi pembaziran masa menunggu mereka yang lewat. Mereka berasa dihargai.

Masa Tidak Pernah Rehat
Masa sentiasa bergerak dan berlalu. Ia tidak pernah rehat dan berhenti. Masa tidak pernah kenal cuti ataupun penat. Yang rehat, cuti dan penat adalah manusia. Kerana manusia tidak seperti masa. Oleh itu, beringatlah, setiap kali saudara leka dan lalai, masa sering kali ‘memerhatikan’ saudara kerana ia tidak pernah lalai. Berhati-hatilah supaya saudara tidak di’kalah’kan oleh masa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *