Sikit-Sikit Lama-Lama Siap

Petikan ini diambil dari buku yang bertajuk “55 Petua Orang Berjaya”. Ini adalah sebahagian dari penulisan buku tersebut dan tidak bercadang untuk mengambil kesemua petikan dalam buku tersebut. Bantulah penulis dengan membeli buku beliau. Klik pada pautan untuk mengetahui lebih lanjut mengenai buku ini.
https://www.tutor-guru.com/wp/55-petua-orang-berjaya/

Perjalanan 1000 batu

Sudah tentu saudara pernah mendengar kata-kata ini, “Perjalanan 1000 batu bermula dengan langkah yang pertama.” Bahkan walau lebih jauh daripada itu, saudara masih perlu memulakan dengan langkah yang pertama. Jika saudara menaiki kereta, saudara masih tetap memerlukan pusingan tayar yang pertama. Pendakian Gunung Everest yang tinggi itu pun bermula dengan langkah yang pertama. Menunggang basikal mengelilingi dunia memerlukan kayuhan yang pertama. Begitulah apa jua perbuatan yang saudara lakukan, mesti mulakan yang pertama, walaupun kesannya hanya kecil dan tidak seberapa.

Oleh itu, dalam melaksanakan tugasan harian, ada masanya saudara tidak perlu teragak-agak. Jika perancangan sudah diatur, teruskan melangkah. Jangan ragu-ragu lagi. Percaya pada diri saudara, dan lakukan sekarang. Kata-kata yang popular, “Buat saja, kerana saudara perlu melakukannya.”

Sikit-sikit lama-lama jadi bukit

Ia adalah pepatah lama orang kita. Sikit-sikit lama-lama jadi bukit. Dalam pengurusan kerja, jangan takut hendak memulakan sesuatu secara berdikit-dikit. Ada kerja yang besar dapat dilakukan secara beransur-ansur apabila saudara merancang sebegitu. Apabila saudara menaip satu muka surat sehari, saudara sudah boleh menghasilkan sebuah buku setebal 365 muka surat setiap tahun. Jika saudara lakukannya selama 30 tahun, sudah tentu saudara dapat menghasilkan 30 buah buku setebal 365 muka surat setiap satu. Hebat bukan? Tetapi berapa ramai di kalangan kita yang menyedari kuasa pepatah lama ini?

Oleh itu, dalam pengurusan kerja, jangan takut hendak memecahkan kerja saudara kepada subtugasan yang kecil. Saudara juga boleh melaksanakan subtugasan itu secara beransur-ansur jika ia tidak menjejaskan perancangan saudara.

Kenal pasti perkara-perkara yang sedikit dan kecil yang boleh saudara lakukan, dan dalam masa yang tertentu saudara akan mendapat habuan yang lumayan. Membeli dan mengumpul komik tahayul sudah tentu tidak memberikan banyak faedah, tetapi apabila saudara mengumpulkan puisi-puisi indah dan membuat kompilasi puisi, saudara sudah menghasilkan sesuatu yang berfaedah. Oleh yang demikian, kenal pasti apakah perkara-perkara dalam hidup ini yang sedikit tetapi membukit!

Hsiao Kuo dalam pengurusan Tao menyatakan, ‘Yang kecil menguasai’

Saudara sudah tahu ada perkara-perkara yang nampak remeh dan kecil tetapi sebenarnya memberi impak yang besar. Dalam pengurusan Tao, ada satu konsep yang dinamakan sebagai Hsiao Kuo iaitu ‘penguasaan oleh yang sedikit ataupun kecil’. Mengikut konsep ini, ada keadaan tertentu ketika mana penguasaan yang sedikit menjadi batu loncatan kepada kejayaan yang besar. Namun begitu, saudara tidak boleh statik dengan prestasi yang sedikit ini, kerana ia hanyalah ‘batu loncatan’. Dan saudara tidak sepatutnya tinggal tetap di atas batu loncatan. Tinggal di rumah yang besar dan selesa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *